KUALA LUMPUR: Tiga anggota dan seorang pegawai polis diserang sekumpulan lelaki Afrika dalam operasi di pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya, pada Khamis.

Kesemua anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu diserang ketika cuba menahan seorang lelaki Nigeria yang disyaki terlibat dalam kes penipuan “African scam’”.

Kejadian pada pukul 11 malam itu menyebabkan seorang anggota polis cedera di muka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, polis telah menahan 10 lelaki Afrika bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis ke sana untuk menahan seorang suspek warga Nigeria bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan…namun berlaku provokasi antara polis dan sekumpulan warga Afrika.

“Anggota kami mengalami kecederaan akibat diserang dan mereka meminta bantuan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya,” katanya.

Fadzil berkata, mereka yang ditahan direman 4 hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Tindakan mengesan yang lain sedang dijalankan, katanya.

Sehubungan itu, Fadzil memberi amaran bahawa polis tidak akan berkompromi dengan warga asing yang jelas melanggar undang-undang, termasuk menghalang tugas penjawat awam, terutama dalam isu berkaitan kes yang melibatkan warga dari negara Afrika.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap semua yang melanggar undang-undang negara,” tegasnya.