MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini, semalam, kerana meminta suapan berjumlah RM6,000 bagi membebaskan seorang pesalah.

Anggota berkenaan yang juga ketua di sebuah balai polis di daerah Melaka Tengah di sini, ditahan selepas meminta sogokan daripada keluarga seorang pesalah berkaitan kes dadah.

Pengarah SPRM Melaka, Abu Talib Othman, berkata tangkapan itu dilakukan di sebuah balai polis, kira-kira jam 5.30 petang.

“Anggota polis berusia 53 tahun itu ditahan selepas meminta sejumlah wang tunai RM6,000 bagi tujuan membebaskan suspek yang memiliki dadah.

“Kita (SPRM) menerima aduan daripada orang awam, sebelum tangkapan dibuat. Siasatan masih dilakukan sebelum mendapatkan perintah reman,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Sahabat Cilik SPRM dan Maskot SPRM di Sekolah Kebangsaan Telok Mas, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada transaksi wang sudah dilakukan, Abu Talib enggan mendedahkannya kerana masih menjalankan siasatan.

“Tangkapan adalah yang pertama membabitkan anggota polis di Melaka pada tahun ini.

“Saya nasihatkan jangan sesekali melakukan rasuah dan salah guna kuasa kerana lambat laun akan tertangkap juga,” katanya sambil menambah akan ada beberapa tangkapan lagi pada tahun ini susulan siasatan lanjut yang dilakukan hasil aduan diterima agensi itu – berita harian