KUALA KANGSAR: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggang terlanggar belakang sebuah lori di Kilometer 232 Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, kira-kira jam 1.10 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, mangsa, Konstabel Muhammad Nadzrul Nadzri, 25, yang bertugas di Balai Polis Sentral, Ipoh, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua motosikal dan lori itu dari arah selatan menghala utara.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai mangsa yang menunggang motosikal telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kiri lori yang sedang mara di lorong kiri,” katanya pada Khamis.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Bandar Baharu, Kedah dipercayai mengekori rapat lori tersebut menyebabkannya terlanggar bahagian belakang kiri lori.

Katanya, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Kangsar mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.