IPOH– ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kediamannya di Balai Polis Pekan Baru di sini pada Rabu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, mayat anggota polis berusia 29 tahun itu ditemui 6.15 pagi tadi di tepi rumahnya.

“Punca kita masih belum tahu dan sedang siasat, ada satu kesan tembakan yang menembusi kepala mayat.

“Setakat ini, polis belum mengenal pasti senjata yang digunakan tetapi mengesyaki ia daripada senjata yang dia ada,” ujarnya ketika sidang media di Balai Polis Pekan Baru.

Razarudin berkata, polis masih menyiasat motif kejadian termasuk sama ada anggota terbabit menembak diri sendiri, tertembak atau ada unsur lain.

Beliau berkata, anggota berkenaan masih belum berkahwin dan baru ditugaskan di balai polis berkenaan kira-kira dua hari lalu.

Ujarnya, sebelum ini anggota polis berkenaan bertugas bersama pasukan petugas khas Unit Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7).