IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan dua anggotanya yang bertugas di Perak serta seorang orang awam bagi membantu siasatan kes kejadian samun berkumpulan dan memeras ugut di sebuah rumah di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini.

Katanya pegawai dan anggota berkenaan mendakwa mereka membuat serbuan ke rumah terbabit di Persiaran Rapat Baru 1, Taman Lapangan Permai kira-kira pukul 2 pagi semalam.

“Bagaimanapun, mereka tidak membuat laporan (serbuan) yang merupakan prosedur setiap kali selepas selesai serbuan. Sebaliknya, kita syaki mereka mengambil kesempatan meminta wang, memeras ugut dan menyamun mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Noor Rashid berkata semua yang terlibat kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata kejadian itu melibatkan seorang pegawai, tiga anggota dan dua orang awam.

“Seorang lagi anggota serta seorang orang awam masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.

Semalam, seorang lelaki berusia 54 tahun membuat laporan polis mendakwa didatangi enam lelaki mengaku sebagai anggota polis yang ingin membuat pemeriksaan di dalam rumahnya selain diperas ugut untuk menyerahkan RM12,300.

Dipercayai wang tersebut diminta sebagai melepaskan mangsa daripada dibawa ke balai polis kerana penemuan dadah di rumahnya. BERNAMA