IPOH – Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan menyifatkan penglibatan empat anggotanya dalam kegiatan jenayah di negeri ini sebagai kes terpencil.

Beliau berkata, ini kerana terdapat 10,000 anggotanya yang bertugas di dalam negeri ini dan hanya empat daripada mereka dilaporkan terlibat dalam kes jenayah manakala selebihnya komited serta jujur dalam menjalankan tugas menguatkuasa undang-undang.

“Kita mempunyai 10,000 anggota di Perak, hanya dua kes sahaja yang berlaku tetapi bagi saya dan juga DPRM kita tiada belas kasihan kepada mana-mana anggota yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

“Kita akan siasat, sekiranya mereka terlibat tindakan pertama adalah pindahkan mereka dahulu dengan fikiran yang positif untuk keadilan, tetapi jika proses selanjutnya mendapati sebaliknya maka tindakan lain akan menyusul, itu sudah tentu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Motosikal URB Kawasaki dan Kenderaan 4WD LSF Kontinjen Perak di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini pada Khamis.

Hasnan berkata demikian ketika mengulas mengenai dua kes jenayah berasingan yang melibatkan samun berkumpulan di Ipoh dan ugut serta cabul di Parit baru-baru ini

Pada 28 Disember lalu, empat lelaki termasuk seorang pegawai dan dua anggota polis telah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun tanpa senjata membabitkan wang tunai RM12,300 di sebuah rumah di Kamupung Rapat, di sini.

Tidak lama selepas itu, pada 11 Februari lalu, seorang Konstabel polis berusia 29 tahun pula ditahan bagi membantu siasatan dakwaan cabul dan peras ugut pasangan kekasih di Parit.