BAGAN DATUK: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan siasatan telus akan dilakukan berhubung kes samun yang melibatkan empat anggota polis termasuk seorang pegawai kanan di Ipoh baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini polis telah menahan empat anggotanya dan dua lagi orang awam yang dipercayai terlibat dengan kes terbabit.

“Kita memberikan keutamaan kepada soal keselamatan, bukan hanya dari pencerobohan tetapi jika kejadian jenayah berlaku, apatah lagi jikalau ia dilakukan oleh pegawai penguatkuasa dan anggotanya.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak. Ia adalah komitmen kita kepada rakyat keseluruhannya. Kesemua mereka telah direman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Proram Kembali Ke Sekolah di SJKC Chong San Sungai Burung di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga akan memastikan tindakan tegas bakal menanti suspek sekiranya terbukti mereka bersalah.

Pada Khamis, Suara Perak melaporkan empat individu termasuk tiga anggota polis ditahan selepas terlibat dalam satu kes samun berkumpulan tanpa senjata ke atas seorang lelaki melibatkan jumlah RM12,300 di Kampung Rapat Ipoh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Abdul Rani Alias memberitahu, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek menyamun mangsa dengan cara meminta duit sebagai rasuah untuk melepaskan mangsa daripada dibawa ke balai selepas mendakwa kononnya terdapat dadah di rumah mangsa.