GOPENG: Seramai 16 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari Selangor dan Negeri Sembilan membantu misi mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.

Komander STORM, Ismail Abdul Ghani berkata, bantuan pasukan dua negeri itu diperlukan berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka yang sering terlibat dalam misi mencari orang hilang.

Menurut beliau, daripada kes-kes sebelum ini, anggota STORM Selangor dan Negeri Sembilan kerap terlibat dalam gerakan mencari orang hilang, hampir setiap tahun berlaku kes yang sama.

“Mereka ni memang banyak pengalaman untuk menjejak mangsa hilang dan mangsa yang terperangkap,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, dekat sini, pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu.

Ismail berkata, dua pasukan berkenaan bersama anggota STORM Perak dan Putrajaya
menumpukan lokasi pencarian di check point 6 dan 10.

Menurut beliau, pihaknya tidak menetapkan tempoh operasi kerana ia bergantung kepada petunjuk-petunjuk yang diperolehi.

Katanya, matlamat mereka ialah untuk memastikan mangsa akhirnya dapat ditemui.

Beliau memberitahu, operasi mengambil masa kerana mereka menghadapi sedikit kekangan, khususnya dari segi petunjuk dan kawasan yang luas.

“Kami mendapat petunjuk yang samar-samar, yang tidak boleh dijadikan sebagai bukti kukuh sebab kawasan ini luas.

“Tambahan pula, ‘event’ (larian) ini melibatkan tiga kategori iaitu 25km, 50 dan 100km dan berdasarkan temubual dengan penganjur, ada juga potensi peserta yang lari 25km masuk kepada laluan 50km dan ada juga trek yang tidak dilalui oleh peserta.

“Ini sedikit sebanyak menyulitkan usaha untuk mencari dan menyelamat, dari segi bentuk muka bumi, bagi saya tidak ada masalah,” ujarnya.