Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang anggota tentera ditemui maut dengan kesan tompokan darah di dalam keretanya di Jalan Lim Thee Hoi berhampiran Restoran Larut,dekat sini pada petang Jumaat.

Dalam kejadian sekitar 4.40 petang itu, Razif Ruhiman,32, yang bertugas di Kem 9,Renjar,di sini ditemui maut di dalam kenderaannya dengan kesan darah di bahagian mulut dan hadapan keretanya.

Ketua Polis Daerah Taiping,Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan dariada orang awam yang memaklumkannya kepada pihak polis.

“Laporan awal yang kami mengatakan seorang lelaki disyaki dalam keadaan cedera dan muntah darah di Jalan Lim Tee Hooi, berhampiran Restoran Larut.

“Siasatan awal mendapati kemudian seorang lelaki telah meninggal dunia di lokasi berkenaan dengan darah di bahagian mulut dan ada tompokan darah di hadapan kenderaanya dipercayai muntah darah mangsa,”katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Taiping bagi tujuan bedah siasat.

Menurut laporan rakan sekerja, mangsa sebelum ini pernah mengalami sakit Tibi dan punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan dalam perut.

“Siasatan setakat ini menunjukkan tiada unsur-unsur jenayah,”katanya lagi.