TANJUNG MALIM – Seorang anggota tentera berpangkat Koperal maut setelah motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah kereta di Kilometer 365.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Slim River di sini kemarin.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, Suhaimi Amir Saidin, 34, dari Pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) parah dan maut di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Waja yang dalam perjalanan ke Kedah dan dipandu di lorong kanan itu memperlahankan kenderaannya setelah terlanggar tayar terpakai yang terjatuh dari sebuah lori yang berada di hadapan jalan.

Mangsa yang mengekori dari belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh tepat bahagian belakang kereta dipandu lelaki berusia 37 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki BR250-E cedera parah dan maut di tempat kejadian.

Katanya, pemandu Proton Waja tersebut dan lelaki berusia 20 tahun yang memandu lori berkenaan bagaimanapun tidak cedera.

“Kemalangan itu mengakibatkan lalu lintas bergerak perlahan kira-kira dua kilometer. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya yang memberitahu siasatan kes dijalankan mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE