MELAKA: Seorang tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menumbuk muka, leher dan kepala isterinya, September lalu.

Muhammad Jamri Nowawi, 36, membuat pengakuan itu sebaik sahaja jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Siti Nurfaizah Mohd Yusof, 35, dengan menumbuk muka, leher dan kepala mangsa, di sebuah rumah di Taman Sari, Sungai Udang, di sini, jam 12 tengah hari, 21 September 2018.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin yang mencadangkan jaminan RM8,000 manakala tertuduh merayu jaminan rendah diberikan atas alasan menanggung keluarga.

Selepas mendengar kedua-dua hujah dan rayuan, Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes – berita harian