IPOH: Seorang anggota tentera yang bertugas di sebuah kem di Kelantan sanggup menempuh perjalanan lebih 350 kilometer (km) demi melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi awal di Batalion Ke-2, Rejimen Renjer Diraja (RRD) Kem Syed Putra, di sini hari ini.

Proses pengundian awal Kem Syed Putra yang bermula pada jam 8 pagi itu berjalan lancar dengan 1,628 pengundi membabitkan kawasan Parlimen Tambun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta.

Staff Sarjan Mohd Nasir Hasan, 43 berkata, dia sudah 23 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah kali kelima dia membuang undi.

Katanya, beliau yang sebelum ini bertugas di Kem Syed Putra sejak tahun 2000 dipindahkan ke kem negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada tahun lalu berikutan keadaan isterinya yang diserang angin ahmar.

“Ini tahun kelima saya membuang undi dan datang ke sini sejak semalam demi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.

“Meskipun keadaan isteri yang terpaksa berkerusi roda kerana dia diserang angin ahmar sejak enam bulan lalu namun tidak memberi masalah kepada saya untuk menempuh perjalanan jauh bagi melunaskan tanggungjawab itu,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di kem berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Korperal Abdul Kadir Shukor, 30, dan Rafiqah Abdul Shukor, 30, turut teruja dapat bersama-sama membuang undi di kem berkenaan.

Abdul Kadir yang berasal dari Johor berkata, PRU-14 adalah pilihan raya kedua beliau membuang undi bagi menentukan kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen.

Bagi Rafiqah yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, beliau pertama kali membuang undi dan gembira dapat melaksanakan tanggungjawab bersama suami.

“Saya bekerja mengikut syif jadi tahun ini baru berpeluang untuk membuang undi.

“Perasaan gembira dan teruja kerana dapat menunaikan tanggungjawab (mengundi) bersama suami,” katanya.

Bagi Lans Korperal Erna Umizah Irin, 23, beliau yang sudah berkahwin dengan seorang anggota polis di bandar ini agak gementar kerana pertama kali keluar mengundi.

“Pada masa sama, saya teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya – berita harian

 

BERITA BERKENAANPengundian Awal Warga TLDM Berjalan Lancar