IPOH: Sukan angkat berat berisiko digugurkan daripada Sukan Malaysia (SUKMA) sekiranya berlaku lagi isu doping ketika berlangsung temasya dwitahunan itu di Perak.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun berkata, ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa tertinggi SUKMA terlebih dahulu.

Menurut beliau, itu adalah asas utama mengapa sukan itu digugurkan sebelum ini dan jika masih berlaku lagi, ia akan dibincangkan semula.

“Jika semasa SUKMA masih terdapat isu doping di kalangan atlet angkat berat, ia akan dibawa ke peringkat jawatankuasa tertinggi SUKMA kerana salah satu syarat yang diberi semula untuk bertanding ialah memastikan tidak ada lagi isu doping,” katanya pada sidang media di Pusat Media SUKMA XIX di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai seorang atlet angkat berat terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada temasya dwitahunan ke-19 itu kerana didapati positif dalam saringan ujian antidoping luar pertandingan baru-baru ini.

Saringan ujian pra-SUKMA itu dijalankan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dengan kerjasama Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) dan MSN serta Kementerian Belia dan Sukan dari 25 Julai hingga 29 Ogos lalu yang melibatkan 165 atlet daripada 14 pasukan negeri.

Ahmad Shapawi berkata, semua penggiat sukan angkat berat, sama ada atlet, jurulatih dan pegawai persatuan perlu mengambil tindakan bagi memastikan bahawa mereka juga turut menggalakan pencegahan penggunaan bahan terlarang.

“Apabila didapati positif, bermakna sukar untuk mereka meyakinkan kita bahawa mereka perlu diberi pertimbangan untuk angkat berat sebagai sukan teras atau untuk dipertandingkan di peringkat SUKMA,” ujarnya.

Menurut beliau, ujian yang dijalankan itu adalah rasmi kerana ujian doping boleh dijalankan pada bila-bila masa, sebelum pertandingan, selepas pertandingan atau semasa pertandingan.

“Apabila ujian positif, itu adalah keputusan rasmi dan ia adalah termaktub di bawah peraturan WADA (World Anti-Doping Code) yang akan dilaksanakan oleh PABM yang akan melaporkan tindakan yang akan diambil kepada atlet terbabit kepada pihak Persekutuan Berat Angkat Antarabangsa (IWF),” katanya.

Menurut Ahmad Shapawi, hanya angkat berat sahaja yang membuat tindakan proaktif itu manakala sukan-sukan lain akan dibuat proses doping seperti biasa yang akan dijalankan oleh pihak ADAMAS.