IPOH: Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah boleh diangkat sebagai satu lagi program bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, muzakarah yang dianjurkan itu bukan sahaja melibatkan pakar dalam bidang agama, malah turut melibatkan pakar dalam pelbagai bidang.

Menurut beliau, ia juga sesuai dengan konsep pengantarabangsaan negeri Perak.

Dr Zambry berpendapat, oleh kerana muzakarah itu semakin berkembang, ia boleh membuka penyertaan kepada dunia luar, khususnya negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand.

muzakkarah MB 4

“Paling penting, ia boleh mewujudkan kehidupan yang harmoni menerusi sesi perbahasan dan resolusi-resolusi yang dibentangkan lebih kepada bagaimana mahu memantapkan lagi institusi Islam, seterusnya akan membawa kepada kehidupan yang lebih harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pembentangan Resolusi dan Rumusan Muzakarah serta majlis perasmian penutup Muzakarah Sultan Nazrin Shah di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Dr Zambry memberi contoh, muzakarah yang diadakan pada tahun ini memberikan gambaran dan mengupas idea sebenar mengenai hubungan antara Melayu dan Islam.

Menurut beliau, konsep Melayu bukanlah sesuatu yang rasis dan yang paling utama ialah untuk melihat bagaimana kehidupan di Malaysia amnya dan di Perak khususnya, dalam keadaan aman.

“Ianya bagi mengelakkan sebarang kekacauan dan perpecahan di kalangan masyarakat, baik di kalangan masyarakat Islam sendiri dan juga dengan yang masyarakat bukan Islam,” kata beliau.