Oleh: Nazialita Geynna Maharan
IPOH: Angkawasan wanita terkemuka dari Amerika Syarikat, Catherine Coleman bakal menjadi salah seorang penceramah dalam program Pangkor Dialogue yang akan berlangsung pada September depan.
Beliau yang juga dikenali sebagai Cady Coleman merupakan angkawasan yang pernah berkhidmat dalam Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) selama 24 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Mazalan Kamis berkata, Catherine yang pernah menjelajah ke angkasa lepas sebanyak tiga kali akan menyampaikan nasihat dan pandangan beliau pada dialog berprestij itu.
“Pelancongan berteraskan angkasa dan teknologi mungkin dianggap sebagai tidak relevan suatu masa dahulu tetapi dalam perkembangan industri 4.0 kini, ia begitu penting dalam segenap sektor pembangunan.
“Malah, dengan kehadiran teknologi berdaya maju hari ini, kerjasama dengan semua pihak dilihat begitu pantas dan mudah kini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan program Syarahan Umum Mengenai Ekonomi dan Pelancongan Angkasa oleh Prof Dr Patrick Collins di sini, semalam.
Dr. Mazalan berkata, dalam hal itu, pembangunan pelancongan angkasa di Perak menjadi satu aspirasi yang bersesuaian dengan misi untuk membangunkan negeri ini sebagai sebuah entiti pembangunan moden.
Katanya, negara kini memasuki era industri 4.0 yang menyaksikan integrasi dan interaksi antara mesin, data raya dan automasi.
“Mesin ini berkebolehan memajukan diri sendiri dengan pengawasan manusia yang minimum malah kini, kita membina mesin yang mampu berfikir seperti manusia.
“Saya cukup yakin bahawa Perak mempunyai potensi untuk mencapai sasaran sekiranya kita dibekalkan dengan sumber dan tahap pemikiran baru,” ujarnya.
Beliau menambah, Perak mampu melakar statusnya sendiri dalam industri aero-angkasa.
“Apa yang kita perlukan adalah sebuah pengertian yang Perak boleh melakar tempatnya sendirinya dalam industri ini.
“Sekiranya kita mempercayai perkara ini, maka segalanya akan tersusun untuk kita laksanakan,” katanya.