MARANG – ­Anjing dari luar negara dipercayai antara punca penyebaran rabies atau penyakit anjing gila di Kuala Sepetang, Taiping, Perak, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, anjing tersebut dipercayai dibawa masuk oleh nelayan asing menerusi bot yang berlabuh di kawasan berkenaan.

“Kita dalam proses untuk menjejaki dari mana datangnya anjing-anjing itu agar penyakit ini lebih mudah untuk dikesan dan tidak dinafikan ia agak mencabar.

“Selain itu, cabaran utama kita (tangani rabies) di Sarawak pula ialah jarak dan sempadan kita harus mendapat kerjasama dengan negara jiran Indonesia untuk pergi ke kawasan yang terjejas teruk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kilang Beras PRM Foods Marketing Sdn. Bhd. di Bukit Kor di sini semalam.

Kosmo! pada 18 Julai lalu melaporkan kerajaan negeri Perak mengisytiharkan Mukim Matang sebagai kawasan jangkitan rabies selepas dua kanak-kanak perempuan digigit seekor anjing gila di Kuala Sepetang, Taiping pada 4 Julai lalu.

Sehingga kini wabak berkenaan telah membunuh empat kanak-kanak di Sarawak, manakala seorang lelaki berusia 52 tahun disahkan positif virus tersebut di negeri itu kelmarin.

Shabery berkata, pihak kementerian telah menghantar sebanyak 13,000 vaksin di Sarawak dan 6,000 vaksin ditambah semalam supaya kawasan-kawasan dalam lingkungan pengawasan tersebut diperluaskan.

Sementara itu di Ipoh, Sebanyak 24 lagi anjing liar dilupuskan di Mukim Matang menjadikan jumlah haiwan itu dilupuskan sejak empat hari lalu meningkat kepada 72 ekor.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Fuziah Muhayat berkata, pihaknya turut memberikan suntikan vaksin kepada 337 ekor anjing dan kucing sebagai langkah mengekang penularan wabak rabies atau anjing gila di negeri itu.

-KosmoOnline