PARIT BUNTAR: Karnival Kerjaya & Pendidikan perlu diadakan secara berkala bagi memberi manfaat kepada lebih ramai belia di luar bandar.
Orang Besar Jajahan (OBJ) Kerian, Datuk Meor Redwan Mahayudin berkata, karnival seumpama itu banyak memberi informasi kepada belia mengenai peluang yang boleh mereka ambil.
Dalam hubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) kerana mengadakan karnival itu di Parit Buntar untuk manfaat belia di sekitar kawasan berkenaan.
“Tahniah kerana berjaya mengadakan karnival yang sangat bermanfaat ini, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sedang mencari peluang kerjaya dan pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat gerai pameran di Karnival Kerjaya & Pendidikan Belia Negara di Dataran Alamanda Parit Buntar di sini pada petang Sabtu.
Hadir sama Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA), Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi.
Sementara itu, Ghadafi berharap golongan belia di Parit Buntar tidak melepaskan peluang untuk datang beramai-ramai ke karnival berkenaan dan melihat sendiri apa yang boleh mereka manfaatkan.
Bagi Ameron pula, PEKA akan terus mengadakan karnival kerjaya dan pendidikan bagi membangunkan lagi belia di negeri ini.
Beliau memberitahu, karnival akan datang bakal diadakan sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak yang dijadualkan bulan depan.