IPOH: Reda dengan hakikat bahawa jangka hayatnya berbaki lima tahun, tidak melumpuhkan semangat Intan Liyana Aqilah Mahd Zahadi, 13, untuk merealisasikan hasratnya memiliki kerusi roda elektrik dan menunaikan umrah.

Hasrat untuk memiliki kerusi roda elektrik tercapai hasil inisiatif beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berusaha mengumpul dana.

Intan Liyana merupakan pengidap Limb Girdle Muscular Dystrophy (LGMD) yang akan melemahkan fungsi otot dalam kadar perlahan.

Menurut ibunya, Maryani Awang, 46, dengan adanya kerusi roda elektrik itu, akan membolehkan Intan Liyana bergerak lebih mudah memandangkan keupayaan remaja itu untuk menolak kerusi roda biasa, terbatas.

“Kita telah berjaya menunaikan impian dia yang mahu memiliki kerusi roda bermotor dan dia lebih bebas bergerak di dalam atau luar rumah.

“Kalau boleh saya akan usahakan juga untuk beritahu pihak sekolah supaya sediakan prasarana untuk dia boleh gunakan kerusi roda ini di sekolah pula,” kata Maryani ketika ditemui di program Showcase Berat Sama Dipikul Adik Intan Liyana di D’Polo Café Lan’s Catering, Ipoh.

fatin-liyana-showcase 3

Antara artis yang terlibat menjayakan program ini seperti Komuniti Ipoh Halal Food, OMG Buskers, Badan Budaya Perak dan Datuk Aznil Nawawi atau PakNil.

Jelas Maryani, tumpuan kini lebih terarah untuk melunaskan satu lagi hasrat Intan Liyana iaitu menunaikan umrah.

“Terima kasih tak terhingga pada semua, sekarang kita masih menumpukan dana seterusnya yang saya rasa lebih bermakna untuk dia terutama untuk menunaikan umrah dan berdoa di hadapan Kaabah.

Bagi Penaung Komuniti Ipoh Halal Food dan juga pemilik D’Polo Café, Roslan Zainal Abidin, sambutan dan sokongan padu daripada orang ramai cukup menggalakkan.

“Setakat ini sambutan cukup hangat dengan kehadiran artis seperti Paknil bertambah meriah, kutipan amal yang kita jalankan alhamdulillah lancar. Kami harap Intan terus gembira dan gembira,” kata Roslan.

Sementara itu Aznil yang turut sama meraikan Intan Liyana di majlis itu berharap masyarakat dapat merealisasikan impian remaja itu dalam apa jua cara.

“Sekarag teknologi sangat universal dan kita boleh menyumbang dari telefon, jadi Allah telah memberikan jalan untuk ringankan lagi cara nak beri sumbangan. Paknil doakan dia cepat sembuh dan kita kena percaya pada mukjizat Allah,” ujarnya.