BAGAN SERAI: Ketua  Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa menggelarkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai seorang bersifat rasis, anti Islam dan diktator politik paling lama di negara ini.

Menurut Annuar, beliau membuat kenyataan terbuka berkenaan sebagai membalas kata-kata sinis yang mengelarnya ayam, penakut dan pondan yang dilemparkan oleh anggota pembangkang DAP termasuk Lim Kit Siang semasa persidangan Parlimen baru-baru ini.

Katanya, beliau tidak dapat melayan kata-kata sinis yang dilemparkan pada masa itu kerana terpaksa menggunakan masanya kepada perkara-perkara yang lebih penting dan bersesuaian dengan status Parlimen sebagai tempat berhujah.

“Kalau di Parlimen saya tidak menjawab maka di luar Parlimen iaitu di Bagan Serai saya membuat kenyataan ini bagi menjawab kata-kata sinis yang mereka lemparkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian serentak  persidangan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri Bagan Serai di Dewan SMK Abu Bakar AL-Baqir, Sungai Gedong pada Ahad. Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau turut menyokong beberapa ucapan mantan Perdana Menteri, Tun Mahatir Mohamed sebelum ini bahawa Kit Siang merupakan seorang yang rasis.

Kedua, katanya, berdasarkan ucapan Kit Siang termasuk anaknya Lim Guan Eng di Parlimen menunjukkan mereka akan menentang pelaksanaan Undang-Undang Islam dalam negara ini dan juga Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah  (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Bagi saya, menentang sesuatu yang dilaksanakan ke atas orang Islam yang bertepatan dengan hukum Islam terutama hal ehwal Mahkamah Syariah adalah juga bersifat anti Islam.

“Ini bercanggah dengan perkara tiga dalam Perlembagaan, di mana Islam itu agama rasmi negara dan perlembagaan telah membenarkan sistem Mahkamah Syariah.

“RUU355 adalah tindakan kemaskinikan sahaja, maka bagi seorang bukan Islam menentang RUU355 bagi saya menunjukkan sikap menentang undang undang Islam dan bersikap anti Islam,’’ katanya.

Annuar seterusnya berkata, beliau bersedia untuk didakwa sekiranya Kit Siang merasakan bahawa kenyataan yang dibuatnya itu tidak benar.

“Kalau Kit Siang merasakan apa yang saya katakan ini tidak benar dia boleh mendakwa saya,” katanya.