KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan diminta mengemukakan bukti bahawa Kerajaan China menjemput isterinya duduk dalam mesyuarat yang dihadiri olehnya semasa berada di negara berkenaan pada Januari lalu.

Bukti itu perlu dikemukakan bagi memastikan Anthony Loke tidak berbohong apabila menyatakan isterinya telah dijemput bersama hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa sepanjang pengalamannya berurusan dengan negara China, belum pernah dan tidak mungkin isteri menteri dijemput untuk menghadiri mesyuarat formal yang melibatkan urusan dua negara.

Lazimnya, menteri Malaysia yang menentukan siapakah pegawai yang layak menghadiri mesyuarat rasmi dengan nasihat Wisma Putra.

“Kalau dikatakan Menteri China, Li Xiaopeng yang menjemput isteri Anthony Loke untuk hadir di mesyuarat tersebut, saya memang syak dan menganggap ianya satu pembohongan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Pengangkutan Malaysia.

“Jika penjelasan Anthony benar, ini pasti mencipta satu sejarah penting yang mengagumkan kerana belum ada isteri menteri Malaysia sebelum ini diundang khas untuk menyertai mesyuarat dua hala.

“Maka YB Menteri diseru untuk menunjukkan surat jemputan rasmi dari Menteri China yang dituju khas kepada isteri Anthony. Ada tak?

“Kalau tak dapat tunjukkan bukti, maka kenyataan Anthony semalam sah 100% tipu serta mencemar reputasi dan menjejaskan kewibawaan kepimpinan kerajaan China yang diterajui Presiden Xi Jinping, jangan main-main!,” tegasnya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Tambah Presiden MCA itu, adalah perkara biasa jika isteri menteri dijemput hadir ke jamuan makan malam oleh tuan rumah.

Namun, bukan membawa isteri masuk ke dalam mesyuarat rasmi kerana ia melanggar prosedur standard, norma dan etika kerja kerajaan.

Katanya, hanya mereka yang diberi kuasa/bertauliah seperti menteri, pegawai-pegawai Kementeriannya dan Wisma Putra sahaja yang berhak mewakili Malaysia.

“Semua Menteri perlu mengangkat sumpah menyimpan rahsia dan para pengawai tertakluk kepada sumpah jawatan dan juga tertakluk kepada OSA (Akta Rahsia Rasmi). Hasil perbincangan itu adalah RAHSIA, tidak boleh dizahirkan kepada sesiapa. Faham tak YB Anthony?,” ujarnya.

Ka Siong juga menempelak Anthony yang disifatkan sebagai angkuh dan enggan menerima teguran apabila Menteri Pengangkutan itu berkata, pendedahan oleh MCA sebagai meraih publisiti murahan. – MalaysiaGazette