IPOH : Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Risikan/Operasi Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman dilantik sebagai Ketua JSJ Perak berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman yang menamatkan perkhidmatannya dalam pasukan polis selepas bersara pada Jun lalu.

Majlis pemakaian pangkat daripada Asisten Komisioner kepada Senior Asisten Komisioner itu disempurnakan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis pemakaian pangkat dan serah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh antara Senior Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah yang akan pemangku tugas tersebut.

Mohd. Ali yang dinaikkan pangkat itu akan menjadi Ketua Staf Pasukan Khas, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Anuar, 55, berkata, beliau akan meneruskan usaha mengekalkan keamanan di negeri ini dengan mencegah dan membanteras kegiatan jenayah sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Selain memberi tumpuan terhadap usaha membanteras kegiatan perjudian dan pelacuran seperti mana yang dihasratkan Ketua Polis Perak, saya juga akan berusaha menyelesaikan kes-kes tertunggak dalam usaha meningkatkan keyakinan masyarakat kepada pihak polis,” katanya.