IPOH: Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Anuar Hasin, 23, dinobatkan sebagai johan qari MajlisTilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak 2017 yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, Ipoh.

Johan qariah pula disandang oleh guru KAFA, Munirah Razali, 25.

Mereka membawa pulang wang tunai RM7,500, pakej menunaikan fardhu haji bernilaio RM10,000, hadiah iringan beserta sijil penyertaan.

Mereka juga akan mewakili negeri Perak ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Dewan Seri Negeri, Air Keroh, Melaka pada 2 – 8 April ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Haji Husin.

Sementara itu, dalam pertandingan hafazan kategori 1-10 juzuk, johan kategori lelaki disandang Muhammad Syamim Hamdan manakala kategori perempuan, Puteri Balqis Roslan.

Bagi kategori 1-20 juzuk pula, johan disandang oleh Muhammad Dzulfaqor Mohd Zaine manakala (perempuan) Aiza Nabilah Ahmad Khairuddin.

Bagi kategori 1-30 juzuk, johan disandang oleh Amril Syafiq Ahmad manakala (perempuan), johan Sakinah Shahnom.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, pakej mengerjakan fardhu haji bernilai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan.