Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan dan Perundangan) Selangor, Asisten Komisioner Anuar Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua JSJ (Operasi dan Risikan) Perak yang baharu berkuatkuasa hari ini (Selasa).

7fb0e03f-accb-4338-9a82-70fdd750cb81 (1)

Anuar, 53, yang pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh sebelum dipindahkan ke Selangor, mengambil alih tugas yang sebelum ini dipangku oleh Superintendan Datin Seri Halimahton Ahmad.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Ketua JSJ Perak, Datuk Gan Tian Kee dan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh pada pagi Isnin.

Tian Kee berkata, beliau yakin pengalaman Anuar di dalam pasukan PDRM selama ini akan dapat memantapkan tugas penuh cabaran di dalam bidang risikan dan operasi.

“Saya yakin beliau (Anuar) akan memantapkan lagi gerak kerja Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di negeri Perak dan saya mengucapkan syabas atas kedatangan semula beliau ke negeri ini,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung serah terima tugas Pegawai Turus D8 Operasi Khas JSJ Perak oleh Asisten Superintendan Mohd Rozaini Md Rodzi yang mengambil alih tugas Inspektor Mahani Mohammed.