TANJUNG MALIM: Pertandingan kampung terbaik, Anugerah Desa Perdana 2017 diharap dapat menjadi platform untuk kerajaan merealisasikan program transformasi di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Anugerah Desa Perdana bertujuan melahirkan masyarakat desa yang berdaya saing, berinisiatif, berilmu, berdikari dan berdisiplin kerja.

Menurutnya, anugerah itu juga merupakan kemuncak iltizam kerajaan untuk menghargai dan mengiktiraf kepimpinan perin­kat kampung Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berusaha ber­sungguh-sungguh mentadbir kampung secara muafakat dan cemerlang.

Beliau berkata, kejayaan dan kecemerlangan sesebuah kampung adalah melalui keteguhan institusi JKKK iaitu institusi yang ditubuhkan pa­da 1962 di bawah Rancangan Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Katanya, menyedari kepentingan rangkaian kerja yang utuh, kepimpinan JKKK perlu bersedia untuk turut terlibat bagi mempercepatkan proses merealisasikaan pelan tranformasi luar bandar yang bertemakan ‘Membandarkan Luar Bandar’.

“Ini penting untuk memastikan kampung–kampung tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara sebagaimana yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

“Sebagai agen perubahan desa, JKKK seharusnya bertindak sebagai barisan hadapan untuk menangkis fitnah terhadap kerajaan.

“Pada masa sama menyemarakkan lagi hubungan baik antara pelbagai peringkat masyarakat di desa termasuk golongan muda,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri 2017 Zon Utara di Politeknik Mualim Sultan Azlan Shah, Behrang dekat sini semalam.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Menurut Ismail, Anugerah Desa Perdana juga bertujuan menyuburkan semangat patriotisme di peringkat akar umbi dan memajukan sosio-ekonomi desa yang mampan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu terdapat lapan kriteria penilaian kampung yang meliputi keseluruhan organisasi sesebuah kampung yang meliputi program pendidikan, pembangunan belia sehingga ke corak kepimpinannya.

“Pada tahun ini Anugerah Desa Perdana peringkat negeri dilaksanakan mengikut zon yang telah ditetapkan iaitu utara, tengah, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.

“Sebanyak 568 buah kampung tradisional dan 20 buah kampung Orang Asli di seluruh negara layak dipertandingkan di peringkat daerah,” katanya.

Ismail berkata, bagi zon utara, kampung-kampung yang menyertai pertandingan peringkat daerah ialah sebanyak 145 buah kampung terdiri daripada Kedah (60), Perak (47), Pulau Pinang (22), Perlis (13) dan tiga buah kampung Orang Asli.

“Majlis Anugerah Desa Perdana peringkat negeri akan diadakan seterusnya di Negeri Sembilan bagi Zon Tengah dan Selatan, di Pahang bagi Zon Timur, di Sabah bagi Zon Sabah dan Labuan serta di Zon Sarawak.

“Kemuncak penyampaian Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 22 Ogos ini di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam majlis hari ini, Alexander turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Anugerah Desa Perdana Zon Utara.