Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ingin menghadiahkan Anugerah Kepimpinan Ikon yang diterima daripada Jenama Pembangunan Negara BrandLaureate khusus kepada semua rakyat negeri Perak.

Dr Zambry berkata pengiktirafan itu merupakan satu bukti mengenai kemantapan baik dari kerjasama pentadbiran dan pengurusan negeri Perak dan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan kerajaan negeri.

“Penganugerahan ini bukan kepada diri saya, sebaliknya kepada semua rakyat Perak,benar saya hanya memegang jawatan tersebut namun anugerah itu sebenarnya patut diberikan kepada pasukan yang mengendalikan segala permasalahan rakyat tanpa mengira masa,”katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pada petang Rabu.

ADUN Pangkor itu berkata kejayaan dalam membawa balik anugerah itu adalah berikutan usaha dan bantuan kakitangan dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat bawah dalam pengurusan kerajaan negeri.

“Semua telah bersama-sama saya untuk memastikan Perak sentiasa maju dan gagasan Perak Aman Jaya direalisasikan, baik melalui program dan pendekatan selama ini dan kerja kuat mereka itu kini turut diiktiraf oleh BrandLaureate, saya hanya mewakili kesemua yang telah menjayakannya,”katanya lagi.

21192858_1674506755923665_7371747539838002964_nPada Isnin, Dr Zambry telah menerima Anugerah ‘Game Changer Icon’ oleh Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama Pembangunan Negara BrandLaureate dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Presiden BrandLaureate Tan Sri Rainer Althoff pada malam gala Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama BrandLaureate 2017 di sini.

Dianjurkan oleh Yayasan Jenama Asia Pasifik, anugerah BrandLaureate mengiktiraf pemimpin yang dalam kelasnya tersendiri dan mereka yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara serta masyarakat.