Apabila Anwar Ibrahim membangkitkan isu bayaran daripada PAS kepada pengarang portal Sarawak Report semalam, ternyata ia bukan dibuat begitu saja.

Sebaliknya kata presiden PKR itu beliau menanyakan isu bayaran kepada Clare Rewcastle Brown kerana mendapati ada keanehan pada penyelesaian saman berkenaan.

Lebih daripada itu Anwar berkata beliau mempunyai maklumat tambahan yang kukuh.

“Saya tak fikir PAS boleh nafikan,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar ditemui di majlis anugerah Hadiah Sastera Perdana Kumpulan Utusan di ibu pejabat akhbar tersebut.

Anwar yang sebelum ini tidak memberi komen terhadap isu saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang ke atas Clare mengubah pendekatannya sejak semalam.

Di Pulau Pinang Anwar meminta PAS mengesahkan sama ada benar atau tidak parti itu membuat bayaran lebih RM1 juta kepada pihak Clare.

Petang semalam pula Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

Baca PAS nafi bayar Clare lebih RM1 juta

Kata Anwar beliau mempunyai maklumat yang cukup untuk membuktikan ada bayaran dibuat PAS kepada Clare.

Namun buat masa ini beliau enggan mendedahkan butiran tersebut.

“Saya akan jelaskan secara terperinci pada malam nanti di Semenyih,” katanya.

Anwar di majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan hari ini
Menurut Anwar beliau sudah membaca keseluruhan prosiding dan keputusan dibuat mahkamah di London berhubung saman Abdul Hadi itu.

Kataya isu yang dibangkitkan Clare ialah dana daripada Umno yang dimasukkan ke akaun tertentu dan ia mempunyai kaitan dengan PAS.

Selepas itu kata Anwar tuduhan seperti disiarkan Sarawak Report itu dinafikan, malah presiden PAS menyaman pengarang portal pembocor maklumat tersebut.

“Kemudian mereka mendapat persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

“Tapi Clare tetap kekal dengan dakwaannya dan artikel tersebut tidak ditarik balik. Jadi ia nampak aneh,” katanya.

Menurut anggota parlimen Port Dickson itu lagi beliau mempunyai banyak pengalaman berhubung kes-kes saman sivil sebelum ini.

Biasanya kata Anwar kalau ada penyelesaian sesuatu tulisan itu akan ditarik balik atau pihak yang terbabit meminta maaf.

“Oleh itu saya kurang yakin ada persetujuan untuk Clare nafikan atau batalkan dakwaan berkenaan,” katanya – Malaysiakini