KUALA LUMPUR : Presiden PKR Anwar Ibrahim menyatakan kesediannya bertemu dan berbicang dengan kumpulan yang menentangnya dalam parti itu.

Pada masa sama Anwar – yang mengaku seorang demokrat – juga yakin parti itu berada pada kedudukan menuju arah yang betul.

“Saya demokrat, orang boleh datang dan berbincang (dengan saya).

“Kalau mereka (kumpulan bertentangan) perlukan masa dua hingga tiga jam berbincang dengan cara yang baik, saya tak ada masalah (bertemu dengan mereka).

“Saya sentiasa berjumpa ramai pemimpin di pejabat saya,” katanya kepada wartawan di Petaling Jaya hari ini.

PKR berdepan krisis dalaman secara terbuka membabitkan Anwar dan timbalannya Azmin Ali, serta penyokong masing-masing.

Ia semakin panas dengan dakwaan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa dia terlibat dalam hubungan cinta sejenis dengan Azmin.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi bertegas beliau tidak terlibat dan yakin dakwaan tersebut adalah cubaan pihak tertentu dalam PKR untuk membunuh kerjaya politiknya.

Menurut Anwar beliau juga tidak berasa PKR berada dalam krisis.

“…Saya fikir parti bergerak ke arah yang betul – walaupun tidak 100 peratus. Saya tidak nampak ada masalah sebenar (dalam PKR),” katanya.