KUALA LUMPUR: Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, ketika mengadap Tuanku di Istana Negara, pagi tadi kerana memberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat.

Beliau menegaskan tidak memohon keampunan kerana kesalahan yang sudah disabitkan kepadanya, sebaliknya menuntut kebebasan kerana fitnah dan salah guna kuasa serta perkara yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Prinsip berkenaan yang diterima Tuanku untuk membebaskan saya dan membersihkan semua rekod (kesalahan dan dipenjarakan).

“Malah, Pengarah Penjara Sungai Buloh tadi ketika berjumpa saya memaklumkan tidak perlu tandatangan apa-apa (dokumen) kerana nama saya sudah dibersihkan sama sekali dari semua tuduhan,” katanya pada sidang media di kediamannya sebaik pulang mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Anwar memaklumkan pada sesi mengadap itu beliau ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ditemui di Istana Negara kerana melancarkan proses pembebasan beliau.

“Saya dan Dr Wan Azizah akan bertemu Perdana Menteri mungkin esok untuk menyatakan terima kasih kami atas usaha beliau membolehkan proses pembebasan berjalan lancar,” katanya – berita harian