KUALA LUMPUR : Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membabitkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan segelintir Ahli Parlimen PKR.

“Kita tahu ada percubaan untuk jatuhkan kerajaan PH melibatkan bekas rakan-rakan kita dalam BERSATU dan segelintir pengkhianat dalam PKR.

“Kita tunggu dulu. Mereka dah mengadap Tuanku Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) petang tadi dan belum ada pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis tazkirah di kediamannya di Kampung Segambut Dalam, di sini malam ini.

Anwar berkata, beliau tidak mempunyai maklumat penuh mengenai penubuhan kerajaan baharu.

“Soalan mengenai kerajaan baharu, saya belum mendapat maklumat penuh lagi,” katanya dalam tazkirah yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook PKR.

Wartawan yang berhimpun di hadapan kediamannya tidak dapat mendengar sesi takzirah itu apabila diminta keluar selepas solat maghrib.

Sementara itu, Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata pertemuan itu adalah perancangan yang diatur lebih awal, selepas mendapat perkenan sembah menghadap baginda.

“Memang ada, tetapi ini perancangan yang sudah dibuat sekian lama, cuma untuk sampaikan perkembangan semasa,” katanya.

Kali terakhir Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, dilaporkan mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, adalah pada 16 Oktober lalu, atas kapasitinya sebagai Presiden PKR.