KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, esok.

Setiausaha Politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, ketika mengesahkan perkara itu berkata, rancangan itu sudah diatur lebih awal selepas mendapat perkenan sembah menghadap baginda.

“Memang ada, namun ini perancangan yang sudah dibuat lama, cuma untuk sampaikan perkembangan semasa,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Kali terakhir Anwar dilaporkan mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong ialah pada 16 Oktober lalu, menerusi kapasitinya sebagai Presiden PKR.