SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) mensasarkan kemenangan 3-0 di Parlimen Sungai Siput, Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan itu perlu dicapai BN setelah 10 tahun Sungai Siput tidak mengecap kemajuan.

“Kawasan ini sudah bersedia untuk diambil alih oleh BN. Selama ini, kita tewas 1-2, kali ini saya tidak mahu menang 2-1. Berapa? Saya nak menang 3-0. Boleh semua?” laung beliau pada Himpunan Hebatkan Negaraku di sini hari ini.

Beliau pada masa sama mempersoal apakah yang dilakukan Ahli Parlimen Sungai Siput yang diberi mandat sejak 10 tahun lalu kepada penduduk di sini.

“Parlimen ini sudah lama terpinggir. Saya nak tanya, Ahli Parlimen sebelum ini, buat kerja ke tak? Apa jasanya pada orang Sungai Siput? Tak ada. Kalau orang India kata, ‘yillek’.

“Jadi apa lagi orang Sungai Siput nak tunggu? Nak pisang berbuah dua kali? Tiga kali? Kita semua ini memerlukan transformasi pada kawasan kita.

“Siapa boleh bawa transformasi? Parti PSRM (Parti Sosialis Malaysia)? Parti ‘mata lebam’? Pas? Siapa boleh? BN boleh. Bagi mandat kepada BN, malam 9 Mei, InsyaAllah, Sungai Siput akan berubah di bawah pentadbiran kita,” katanya.

Beliau turut mengumumkan naik taraf sekolah Orang Asli di Parlimen ini sebagai kepada sekolah berasrama penuh selain mewujudkan sekolah agama berasrama penuh dan sekolah jenis kebangsaan Tamil di Parlimen ini.

Penyandang kerusi Parlimen Sungai Siput, Dr Michael D. Jeyakumar bakal mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 10 tahun lalu dengan menentang tiga lagi calon iaitu Datuk Seri SK Devamany (BN), S. Kesavan (PKR) dan Dr Ishak Ibrahim (Pas).

Sementara penyandang kerusi DUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun diberi mandat oleh pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan kerusi itu selain meletakkan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe bagi merampas semula kerusi DUN Jalong – awani

BERITA BERKENAANBR1M Bantuan Ikhlas Untuk Rakyat, Jangan Perlekeh – PM