MANJUNG: Tidak tahan menahan gian, seorang penagih berusia 38 tahun membuang air besar dalam seluar sehingga menyebabkan pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung berbau busuk.

Meskipun lelaki itu sudah membersihkan diri, bau busuk najis terkena pakaiannya membuatkan anggota penguat kuasa AADK terpaksa menahan bau selama tiga jam dalam kenderaan ketika dalam perjalanan ke pusat tahanan, manakala seorang suspek lain yang turut dibawa bersama termuntah dalam kenderaan itu.

Lelaki terbabit antara 42 individu membabitkan lima wanita dan 37 lelaki berusia 17 hingga 65 tahun yang ditahan dalam operasi khas diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, Azman Hashim, bermula jam 5 pagi semalam sehingga 2 pagi tadi.

Ketua Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam, berkata lelaki terbabit yang juga penganggur itu ditahan di ruang tamu rumahnya di Jalan Panchor, Pantai Remis di sini.

Menurutnya, ketika ditahan lelaki itu baru lepas mengambil dadah dan mengaku masih gian sehingga menyebabkan dia membuang air besar dalam seluar ketika berada di pejabat AADK Manjung.

“Biarpun lelaki itu sudah membersihkan diri namun bau busuk itu masih ada dan anggota serta individu lain yang ditahan terpaksa menahan bau busuk selama tiga jam sehingga menyebabkan seorang yang ditahan muntah ketika dalam perjalanan ke Pusat Tahanan Reman AADK, Batu Kurau.

“Lelaki itu adalah penagih tegar dan ini kali ketiga dia ditahan AADK, malah sebelum ini pernah berada di bawah pengawasan kami dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif morfin,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sharuddin berkata, operasi dijalankan di tujuh lokasi di sekitar daerah Manjung membabitkan Sitiawan, Lekir, Lumut, Ayer Tawar, Beruas, Pantai Remis dan Seri Manjung yang menyasarkan rumah berpenghuni serta rumah kosong yang dijadikan ‘port’ menagih.

Katanya, dalam serbuan itu juga dua anggotanya cedera ringan di muka dan tangan selepas masing-masing terlanggar besi dan terjatuh ketika mengejar suspek di lokasi.

“Turut ditahan dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah selain seorang bapa berusia 65 tahun dan anak lelakinya yang ‘sekepala’ serta pasangan suami isteri dan semua yang ditahan didapati positif ganja, syabu dan morfin hasil ujian air kencing yang dijalankan.

“Turut dirampas beberapa peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah dan semua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, AADK Manjung mengalu-alukan maklumat awam bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini untuk kesejahteraan masyarakat setempat – berita harian