KUALA LUMPUR: Pandangan bahawa pengaruh Najib Razak dalam kalangan orang muda menjadi faktor pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN disanggah oleh bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamalaluddin.

“Apa yang dia (Tajuddin) tahu pasal orang muda?” jawabnya ringkas ketika disoal pemberita berhubung isu itu di parlimen hari ini.

Khairy diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman hari ini bahawa kempen “bossku” yang dibawa Najib mencetuskan fenomena dalam kalangan orang muda.

Tajuddin sebelum ini menyifatkan ramai golongan muda menyokong Najib dan kempen ‘bossku’.

Tajuddin ketika itu diminta mengulas kritikan yang dibuat Khairy bersama Nazri Abdul Aziz semalam, berhubung pelantikan Najib selaku penasihat BN.

Semalam, Khairy mengulangi rasa tidak puas hati terhadap lantikan Najib dan menegaskan dia bersuara semata-mata demi kebaikan parti.

Bagaimanapun, Tajuddin menegaskan bahawa tiada yang perlu dibimbangkan terhadap jawatan baru Najib memandangkan ia tidak memberi apa-apa kuasa eksekutif dan pemimpin parti berhak untuk menerima atau menolak nasihat yang dikemukakan pengerusi Lembaga Penasihat BN itu.

Mungkin tak bertanding

“Kalau nasihat tu baik, kita terima. Kalau tak relevan atau tak bagus untuk parti, kita dengar sajalah.

“Tak ada masalah pun,” kata Tajuddin lagi.

Selain Khairy, Ahli Parlimen Rengas Nazri Aziz turut mengkritik pelantikan Najib dan menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah untuk beliau kembali menjadi perdana menteri.

Kata Nazri, Najib berkemungkinan mahu mengejar impiannya itu selepas melihat hubungan baik yang dijalin Umno dengan PAS- yang dapat mencerahkan peluang BN untuk menang dalam PRU akan datang.

Mengulas dakwaan Nazri, Tajuddin berkata “tiada bukti” Najib akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk kembali menjawat jawatan Perdana Menteri.

“Sesetengah orang risau kepulangan Najib ini kerana dia nak jadi perdana menteri lagi sekali. Siapa cakap macam tu? Parti tak pernah cakap macam tu.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, dia mungkin tak bertanding pun dalam PRU akan datang,” katanya lagi.

“Jika dia bukan seorang calon, maknanya dia takkan dapat menjadi perdana menteri,” katanya.

 

-MalaysiaKini