Padanan tempe bersama coklat mungkin agak janggal didengar memandangkan makanan yang sinonim dengan masyarakat Jawa ini kebiasaannya dimakan dengan nasi atau lauk.

Berkali-kali mencari dan mencuba formula yang tepat, Junaidah Moin,46, kini mampu tersenyum bangga dengan produk coklat tempe yang dahulunya dikritik segelintir individu sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’.

Bukan Angan-Angan Mat Jenin

Dia yang sudah memulakan perusahaan tempe sejak tahun 2006 mula mencipta inovasi coklat tempe di atas pandangan serta idea anak lelakinya, Nashazrin Zamhari, di mana ketika itu masih melanjutkan pengajian dalam bidang pemprosesan makanan.

IMG-20170314-WA0006

“Pada mulanya saya hanya membuat dan menjual tempe sebelum diagihkan kepada pekedai di sekitar Teluk Intan dan Manjung. Tidak pernah terlintas pun untuk buat kelainan seperti yang ada sekarang.

“Sehinggalah suatu ketika, anak lelaki saya bagi cadangan mengapa tidak saya buat inovasi coklat tempe oleh kerana waktu itu banyak tempe yang dihantar rosak akibat tidak dijaga dengan betul oleh sesetengah pekedai,” ujar Junaidah.

Cabaran Menghasilkan Coklat Tempe

Coklat tempe atau coklat kacang soya jenama Missla dibawah keluaran Zammar Trading ini ternyata tidak mengecewakan. Kerangupan tempe yang dipanggang dengan teliti disalutkan pula dengan coklat terbaik.

IMG-20170314-WA0009

IMG-20170314-WA0008

IMG-20170314-WA0005

Menurut Junaidah serbuk coklat dicampurkan dengan gula dan lemak sayuran lalu diadunkan dengan tempe. Kemudian akan dimasukkan ke dalam acuan mengikut saiz dan dibungkus.

Penghasilan makanan unik ini juga melibatkan kerjasama di antara Junaidah dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), bagi mendapatkan kualiti dan rasa bersesuaian.

“Banyak kali percubaan saya gagal, kadang-kadang coklat tempe terlalu manis dan adakalanya tidak menepati citarasa yang dimahukan. Alhamdulillah saya mendapat tunjuk ajar daripada Dr. Kamal dari MARDI Serdang selama lapan bulan.

“Daripada situ kami buat R&D dan berjaya hasilkan formula untuk kekalkan ketahanan coklat tempe ini,tidak lupa juga bantuan dari FAMA, Jabatan Pertanian Perak, SME Corp. dan MARA” ujar Junaidah ketika ditemui di Taman Desa Teratai, Felcra Bandar Seberang Perak, Kampung Gajah.

Jalan Terus Walau Terima Komen Negatif

Bukan semua golongan menggemari tempe, bahkan cabaran utama buat Junaidah adalah untuk memastikan produk ini memenuhi selera tekak orang ramai khususnya anak muda.

“Cakap-cakap orang atau sindiran tu biasalah, ada juga orang cakap “apalah susahkan badan nak buat coklat tempe, jual tempe saja sudahlah”.

“Dan ada juga yang menganggap usaha saya ini sia-sia disebabkan selama ini tempe diibaratkan macam makanan kampung,namun sekarang alhamdulillah perniagaan semakin berkembang dan menerima tempahan untuk pelbagai majlis” katanya.

IMG-20170314-WA0013

Selain mengusahakan coklat tempe Junaidah turut menghasilkan crepe tempe, tempe segar, nugget tempe dan sambal tempe dengan harga berpatutan.

Kini dia sedang mengintai peluang untuk memastikan coklat tempenya menembusi pasaran antarabangsa.