Definisi umum patriotisme yang telah disepakati membawa kita kepada semangat cintakan negara tetapi tahukah kita apakah maksudnya? Semangat cintakan negara tidak semata-mata bermaksud kesediaan rakyat untuk berjuang (berperang) demi negara tercinta, malah patriotisme turut berpegang pada prinsip moral sejagat iaitu berbuat kebaikan demi nusa dan bangsa. Satu lagi pandangan ialah patriotisme sebagai alat politik. Justeru pegangan ideologi politik yang berbeza, wujud ketidasehaluan, ketidaksepakatan, dan ketidakbolehpercayaan di kalangan rakyat. Walau apa kritikan sekalipun, kita harus melihat patriotisme dari sudut positif demi kesejahteraan hidup rakyat.

Takrifan cintakan negara membawa pengertian jauh lebih meluas yang mendambakan penglibatan, sumbangan, dan sokongan rakyat baik dalam aktiviti kesukanan sehinggalah pemupukan budaya saling bantu-membantu. Meskipun perasaan kenegaraan berbeza antara sempadan, yang pasti patriotisme berkait rapat dengan transformasi rakyat dan kepemimpinan.

Pengisian patriotisme dahulu berkisar pada perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah, pembentukan negara Malaysia, identiti negara, sistem pemerintahan dan pentadbiran bersama, memerangi komunisme, kebangkitan semangat kebangsaan, membangunkan infrastruktur dan ekonomi, pendidikan dan sosial rakyat jelata, serta menyatupadukan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama.

Kini, aktiviti-aktiviti kenegaraan lebih bertumpu pada pembangunan dan kemajuan negara. Misi pengukuhan perpaduan dan penyatuan rakyat adalah keutamaan negara. Dengan kata lain, patriotisme masih kekal sebagai alat penyatuan dan pembangunan bangsa. Namun begitu semangat patrotisme kian longgar kerana dipaliti dengan insiden-insiden yang menggoyahkan perpaduan kaum.

Sejauh mana kita menyokong dan mempraktikkan nilai-nilai murni patriotisme dalam kehidupan? Apakah kita benar-benar seorang patriot? Jika kita mengaku diri kita patriot, sudah pasti kita akan menolak sebarang bentuk api perkauman, sentimen kebencian dan mengadu domba terhadap rakyat jelata dan negara kerana ia hanya mengeruhkan suasana dan merugikan diri sendiri, bangsa, dan negara.

Sebagai pembela dan pencinta negara, kita bertanggungjawab menabur budi dan bakti kepada nusa dan bangsa. Kita sama-sama membangunkan dan mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir-anasir dalaman dan luaran; menghormati kepelbagaian; mendidik diri menjadi wira-wira yang berjiwa hebat; mengharumkan nama di pentas dunia; mencintai dan memulihara alam sekitar; mengkritik pemimpin dan dasar-dasar kerajaan dengan penuh berhemah dan konstruktif, bukannya semberono. Semuanya dilakukan atas nama rakyat dan negara.

Kempen sebulan Hari Kebangsaan memfokuskan informasi yang diulang-ulang saban tahun dengan kibaran Jalur Gemilang oleh individu, di peringkat pra-sekolah hingga universiti, penganjuran pelbagai pertandingan dan program patriotisme, pemakaian baju bercorakkan Jalur Gemilang, dan larian muhibah atau merdeka. Inilah cara setiap individu dan organisasi menzahirkan keterujaan patriotisme sebagaimana dipaparkan dan dirakamkan di laman-laman media massa. Bukan kita tidak hargai, tetapi biarlah diseimbangkan dengan paparan pembabitan dan sokongan rakyat untuk membangkitkan kesedaran patriotisme dan menghargai usaha-usaha murni mereka yang mengamalkan sikap saling bantu-membantu tanpa mengira kaum dan prejudis.

Media massa harus mengubah corak pemberitaan agar lebih dekat di hati rakyat. Wira yang berjasa atau unsung hero dan golongan yang prihatin terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan, wajar diuar-uarkan sebagai pembakar semangat patriotisme. Mereka boleh dijejak dalam setiap lapisan masyarakat dan menceburi dalam pelbagai bidang hidup manusia. Impak penonjolan berita-berita sedemikian amat terkesan di hati kita semua.

Usia negara akan mencapai 62 tahun. Kita mengambil masa puluhan tahun untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai kaum, etnik, bahasa, dialek, cara hidup, budaya, dan agama. Ia bukan usaha yang mudah yang memerlukan pengorbanan, kesabaran, keringat dan air mata yang bukan sedikit.

Jangan kita hancurkan apa yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu. Jangan kerana segelintir pencaci yang berbuat honar, kesantunan bangsa dicemari. Setiap tindakan kita tidak boleh dianggap patriotik melainkan motif kita selari dengan kepentingan rakyat dan negara tercinta.

Kalau kita mengaku diri kita patriotik, tanya diri apa yang telah dan boleh kita sumbangkan kepada komuniti, bangsa dan negara. Negara memerlukan sokongan dan penyertaan ramai atas tanggungjawab sosial dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan, sukarelawan, dan kemasyarakatan di peringkat daerah, kampung, negeri, dan negara.

Malangnya, aktiviti-aktiviti murni ini tidak banyak yang kita ketahui sepanjang Bulan Kebangsaan. Dengan perkongsian bermakna di media cetak, media penyiaran, dan media digital, ia akan memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan. Kita akan mengetahui tahap kerja sama dan kemuafakatan rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, dengan keterlibatan semua kaum, kita mampu membentuk jiwa patriotik, mengembalikan keyakinan, kepercayaan, semangat setia kawan dan setia kaum.

Tulisan ini adalah sumbangan pembaca Suara Perak
Anita Morah Abas yang juga pelajar PhD Universiti Kebangsaan Malaysia, Jabatan Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.