MANJUNG – The Venus Residence di Manjung Point yang dibangunkan di bawah Program Rumah Mesra Milik Perakku di Manjung Point diiktiraf sebagai apartmen tertinggi di negeri ini.

Bangunan 35 tingkat kerjasama syarikat King Ong Development Sdn Bhd dengan kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) itu memuatkan 518 unit apartmen.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, projek yang memulakan pembinaan pada 2016 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun tahun ini.

Menurutnya, ia menjadi satu lagi usaha kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman selesa dan mampu dimiliki untuk rakyat khususnya golongan B40.

“Untuk tujuan ini, kita harapkan lebih banyak pemaju tampil memberi kerjasama dan di pihak kerajaan akan memberi komitmen sepenuhnya memastikan hasrat menyediaman kediaman ini dapat direalisasikan.

“Seperti hari ini, kerjasama baik yang diberikan jabatan dan agensi kerajaan kepada King Ong (Development Sdn Bhd) telah memungkinkan projek perumahan ini berjalan lancar, kewujudan bangunan tertinggi ini akan menjadi satu lagi kebanggaan penduduk di daerah ini,” katanya selepas meninjau perkembangan pembinaan The Venus Residence di tapak projek, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan, King Ong Development Sdn Bhd, Dato Koh King Ong.

Terletak berhadapan pusat membeli belah AEON Seri Manjung, The Venus Residence dijual pada harga bermula RM280,000 hingga RM550,000.

Bangunan ini turut dilengkapi kemudahan surau, kolam renang, taman permainan kanak-kanak, gimnasium dan zon tinjau.

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, menerusi LPHP, beberapa lagi projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah dibina di daerah ini antaranya di Batu 10 Lekir dan Kampung Serdang.

Katanya, 50 unit kos rendah telah berjaya disiapkan di Batu 10 Lekir sementara 447 unit lagi dibawah kos sederhana rendah di Kampung Serdang.

“Untuk projek kos sederhana rendah ini, pemaju yang sama iaitu King Ong Development Sdn Bhd menetapkan ia dijual pada RM169,000 dan 10 peratus daripada pembinaan merupakan rumah kos rendah yang dijual pada harga RM70,000,” katanya – sinar harian