KEMAMAN: Kemaman Bitumen Company (KBC) menjangkakan kebakaran tiga tangki minyak dipadamkan sepenuhnya selewat-lewatnya, 48 jam lagi.

Dalam kenyataan rasmi syarikat itu hari ini, KBC turut memaklumkan kejadian itu tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada seluruh kawasan kilang penapisannya, premis perniagaan dan perumahan berdekatan.

“Kita jangkakan api dapat dipadamkan antara 24 hingga 48 jam lagi dan ketika ini bomba masih lagi berusaha memadamkan kebakaran.

“Kebakaran ini dijangka tidak memudaratkan keseluruhan kilang penapisan KBC, begitu juga kawasan perumahan serta premis perniagaan yang terletak berhampiran,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kebakaran kira-kira jam 6 petang semalam bermula di sebuah tangki menyimpan minyak mentah sebelum merebak ke tangki bersebelahan.

“Ketika kejadian, kilang penapisan beroperasi berterusan tanpa ‘shutdown’ sejak tiga minggu lalu.

“Bekalan gas asli segera ditutup petugas KBC sebaik kebakaran berlaku dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak bomba,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memetik, pasukan penyelamat tiba di lokasi kira-kira jam 6.30 petang dan segera mengambil alih kerja pemadaman api seperti yang ditetapkan oleh protokol dengan dibantu pasukan KBC.

Katanya lagi, pasukan pemadam kebakaran berjaya mengawal kebakaran di dua tangki terjejas di kawasan yang terhad tanpa membenarkan api merebak ke kawasan lain.

“Pada masa sama, bumbung di tangki ketiga yang terletak bersebelahan turut disambar api, tetapi berjaya dikawal.

“Pasukan bomba membiarkan minyak di dalam dua tangki yang terjejas, terbakar di bawah kawalan dan sebab itulah api dan asap masih dilihat di kawasan kilang,” katanya.

Kenyataan menyebut, tangki berdekatan disiram air berterusan bagi mengelak api merebak memandangkan stok minyak mentah yang terjejas berada pada tahap rendah bagi mengelak situasi lebih serius.

“Hanya seorang pekerja syarikat kontraktor mengalami kecederaan ringan akibat melecur dan segera dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Satu siasatan lengkap akan dilakukan sebaik keadaan terkawal sepenuhnya dan KBC akan berkongsi penemuan penyiasatan dengan pihak berkuasa – berita harian