KEBAKARAN tiga tangki minyak mentah di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7 malam tadi. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azlimin Mat Noor berkata, hasil tinjauan dilakukan menggunakan dron, pihaknya mendapati api sudah padam sepenuhnya.

“Kami pantau guna dron dari atas dengan menggunakan kaedah ‘thermo x-ray’ untuk pastikan tiada lagi kebakaran di semua tangki itu.” Bagaimanapun saya tidak boleh isytiharkan operasi selesai kerana ada beberapa tindakan yang harus kita laksanakan dan apa yang boleh saya maklumkan sekarang, kebakaran sudah dipadamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi kejadian di Teluk Kalong, Chukai malam tadi. Beliau, operasi seterusnya adalah memasukkan sepenuhnya air ke dalam ketiga-tiga tangki bagi memastikan kepanasan dapat dikurangkan supaya kebakaran tidak lagi berulang.

“Siasatan akan dilakukan segera dan kerana ini adalah kebakaran besar, satu pasukan bomba dari Putrajaya akan menjalankan siasatan dengan dibantu pegawai negeri,” katanya.

Difahamkan, kebakaran berkenaan adalah antara yang terbesar di Malaysia selain di Segamat, Tanjung Langsat (Johor) dan Port Dickson.Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terbabit dalam usaha memadamkan kebakaran tangki minyak di Kemaman Bitumen Company (KBC) itu.

Dalam kenyataannya, beliau mengucapkan ribuan terima kepada semua yang terbabit dalam kerja pemadaman iaitu pasukan JBPM Terengganu dan Pahang; Pengurusan dan petugas Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB).

Agensi lain yang terbabit dalam usaha memadamkan kebakaran selama tiga hari itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, anggota Emergency Response Team (ERT) KBC dan KSB, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP), Kemaman Emergency Mutual Aids dan Hospital Kemaman serta Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Menerusi kenyataan itu, beliau berkata, kebakaran membabitkan tiga tangki minyak berkenaan berjaya dipadamkan sepenuhnya dan ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif KBC Sanjay Grover yang menghubunginya bagi memaklumkan perkara itu, hari ini. “Saya mendoakan mangsa yang terbabit dalam kejadian itu segera sembuh dan tabah dengan ujian ini,” katanya – hmetro