Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Kementerian Kesihatan sedang membangunkan aplikasi bagi memudahkan orang ramai membuat temu janji pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik kerajaan di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, melalui aplikasi itu kelak, pengguna boleh mendapatkan nombor giliran masing-masing tanpa perlu hadir dan menunggu lama di klinik.

Menurut beliau, selain mengurangkan beban orang ramai, aplikasi itu sekaligus akan mengurangkan kesesakan di klinik-klinik kerajaan yang ketika ini menerima purata 800 pengunjung setiap hari.

“Kita tahu ketika ini pesakit kadang-kadang pukul 6 pagi dah mula beratur di klinik hanya untuk mendapatkan temu janji, ini memakan masa yang lama.

“Dengan aplikasi ini, pengguna boleh mendapatkan nombor giliran, pada masa sama, ia juga mempamer nombor giliran semasa secara langsung, jadi tak perlu lagi tunggu lama-lama di klinik, hanya pergi bila nombor kita dah dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis persaraan kakitangan dan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Perak di sini pada Isnin.

Tambah Dr. Hilmi, aplikasi itu akan digunapakai di Klinik Kesihatan Seri Kembangan, Selangor dalam masa terdekat dan sekiranya terbukti berkesan, ia akan diperluaskan ke seluruh negara.

Sementara itu, beliau memberitahu, kementeriannya juga akan memperkenalkan sistem penyimpanan rekod maklumat kesihatan kanak-kanak di dalam cip MyKid tanpa perlu menggunakan buku kesihatan.

Katanya, langkah itu dilihat lebih jimat dan praktikal dalam memastikan maklumat kesihatan kanak-kanak dapat disimpan secara kekal serta efisyen berbanding pengunaan buku rekod kesihatan ketika ini.

“Kita menerima banyak kes di mana buku-buku rekod kesihatan kanak-kanak ini hilang dan hospital juga tidak mempunyai rekod.

“Dengan cara yang dikaji ini, rekod itu akan disimpan dalam cip MyKid, pada masa sama, ia juga disimpan di dalam ‘cloud’ secara kekal.

“Oleh itu, sehingga mereka berumur 20 tahun pun kementerian akan masih mempunyai rekod kesihatan mereka,” jelas beliau.

Katanya, sistem itu juga akan digunapakai terhadap golongan dewasa secara berperingkat-peringkat.

“Sekarang kita akan cuba di Putrajaya dahulu, kalau semuanya lancar, ia akan diperluaskan ke seluruh negara. Seterusnya, kita akan melibatkan orang dewasa pula,” tambahnya.