Lumut: Tindakan pantas TLDM bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berjaya membebaskan sebuah bot nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.

Assisten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat, Kept Azman Rabani berkata kejadian bot nelayan tersebut dikejar pihak berkuasa Indonesia (APMI) dikesan pada 11.30 pagi tadi ketika ia berada di 29 batu nautika Barat Daya Teluk Intan atau 3 batu nautika dalam perairan negara.

Menurutnya penahanan bot itu berjaya dikesan Pusat Operasi Armada TLDM melalui aplikasi K3M.

Kata beliau KD Jerai telah dihantar ke lokasi kejadian serta merta bagi memberi bantuan sewajarnya.

“Bot nelayan dari Hutan Melintang itu telah ditahan untuk pemeriksaan dokumen. Pada masa yang sama, pihak TLDM dan APMM telah membuat rundingan dengan pihak Indonesia untuk melepaskan bot terbabit.

Walau bagaimanapun, pada jam 11.40 pagi APMI telah menunda bot nelayan itu menuju ke perairan Indonesia.

Hasil rundingan yang dilaksanakan, pada jam 11.45 pagi, pihak Indonesia telah melepas dan menasihatkan tekong bot tersebut agar tidak menangkap ikan di kawasan berdekatan sempadan Indonesia,” katanya.

Azman berkata Persatuan Nelayan berterima kasih atas kepantasan TLDM dan APMM dalam memastikan keselamatan nelayan tempatan terjamin.

Katanya lagi pihak nelayan juga berterima kasih dengan penggunaan aplikasi K3M yang ternyata memudahkan komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan melaporkan sebarang kejadian pada kadar segera kepada pihak TLDM dan APMM.