IPOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak mengerahkan anggotanya untuk melakukan pemantauan banjir secara 24 jam sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua dan ketiga perubahan cuaca yang dijangka berlarutan sehingga Februari depan.

Ketua Staf Operasi Markas APM Perak, Mejar Kamal Jakarinah berkata, bagi melakukan pemantauan itu, hampir 500 anggotanya telah diarahkan untuk bersiap sedia dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di daerah Perak Tengah, Hulu Perak dan Hilir Perak yang menjadi kawasan hotspot berlakunya bencana berkenaan.

“Persiapan ini sebenarnya telah bermula sejak beberapa bulan lalu lagi, buat masa ini kita sudah mencapai 100 peratus tahap kesiapsiagaan itu.

“Semua aset milik APM Perak juga telah disediakan termasuk 12 buah kenderaan berat yang boleh dihantar kepada ketiga-tiga daerah terlibat sekiranya diperlukan.

“Semua anggota juga telah diberitahu untuk bersiap sedia, sekiranya berlaku sahaja bencana mereka akan dihantar secara terus ke lokasi untuk memberi pertolongan secepat yang mungkin,” katanya ketika ditemui Suara Perak di sini pada Selasa.

Tambah Kamal, sebagai langkah persediaan awal juga, APM Perak telah turun padang dan melatih sendiri ratusan penduduk kampung di sekitar tiga daerah berkenaan mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya kampung masing-masing dinaiki air.

Katanya, usaha berkenaan telah pun dimulakan sejak Januari lalu.

“Selain melatih anggota kita sendiri, kita juga telah melatih penduduk-penduduk kampung yang telah dikenal pasti sebagai kawasan berlakunya bencana.

“Kita memberi latihan dengan harapan apabila berlaku sahaja bencana mereka tahu bagaimana nak bertindak balas dan ke mana mereka perlu pergi, ini sekaligus akan mengurangkan risiko kehilangan nyawa atau harta benda,” jelas beliau.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran supaya semua pihak bersiap siaga menghadapi gelombang kedua dan ketiga banjir.