IPOH – Kira-kira 2,000 penduduk masyarakat Orang Asli di Pos Piah, Sungai Siput dekat bakal mendapat manfaat mengenai pengurusan bencana apabila Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak mewujudkan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) dalam komuniti mereka.

Pengarah APM Perak, Kolonel Mohd. Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, pasukan tersebut diwujudkan dalam kalangan Orang Asli bagi memberi bantuan awal sekiranya berlaku bencana atau kejadian kecemasan di kawasan mereka.

“CDERT dalam kalangan Orang Asli ini merupakan pasukan pertama ditubuhkan dalam masyarakat mereka di negeri Perak.

“Ia bertujuan membantu mengurangkan kesan terhadap sesuatu kecemasan atau bencana di peringkat awal sebelum agensi keselamatan seperti APM atau Bomba dan Penyelamat tiba,” katanya pada sidang akhbar di pejabat APM Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Tambah Mohd. Noor, seramai 20 Orang Asli termasuk empat Tok Batin di Pos Piah dipilih mengganggotai CDERT di kawasan masing-masing dan mereka akan menerima pakaian seragam dan kit bantuan awal daripada APM. – K! ONLINE