IPOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mensasarkan untuk menubuhkan sebuah pejabat bagi persediaan dan pusat bantuan di setiap daerah bagi memenuhi keperluan semasa oleh pasukan sukarelawan berkenaan yang mencakupi pelbagai kemahiran.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Azmy Yahya berkata, sehingga April tahun ini, terdapat 144 pejabat di seluruh negara dan bilangan itu dijangka terus meningkat berdasarkan keperluan pasukan berkenaan yang kini terlibat dalam pelbagai bantuan untuk orang ramai dan agensi kerajaan.

Jelas beliau, selari dengan penukaran nama kepada sebuah angkatan, pelbagai kepakaran yang diiktiraf pada September 2016 pasukan itu juga kini menggalas tugas dan tanggungjawab lebih besar selain menjadi barisan ketiga pertahanan Malaysia.

Malah, beliau berbangga bahawa penugasan awal ketika ditubuhkan pada 1951 untuk membantu masyarakat sewaktu perang kini telah beralih kepada pelbagai aspek termasuk pengurusan bencana banjir dan banyak lagi.

“Kita juga telah diminta oleh beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membantu mereka dari segi pengawasan pendatang asing, selain membantu Jabatan Perhutanan untuk memantau penerokaan, pembalakan dan pencerobohan tanah haram, malah telah menyertai pemantauan Jabatan Perhilitin bagi mengekang penyeludupan haiwan eksotik dan spesies dilindungi di Malaysia.

“Ini menandakan bahawa keanggotaan kita dengan bilangan yang cukup sebenarnya merupakan satu keperluan, kita bersedia membantu memberikan sokongan dan khidmat kepada mana-mana agensi kerajaan mahupun masyarakat umum yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Pegawai Bersekutu C-Dert kepada seramai 93 ADUN dan penghulu di Dewan Bankuet, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Meru pada Khamis.

Jelas Azmy, transformasi pembesaran keanggotaan APM di negara ini juga bermakna pelbagai aset serta kemudahan asas di pasukan tersebut perlu sentiasa ditambahbaik dan ditambah untuk memenuhi keperluan tugasan.

Kata beliau, pihaknya akan mengenalpasti penghulu dan warga setempat yang akan dilatih menjadi pegawai C-Dert atau Civil Defence Emergency Response Team di mana mereka akan beroperasi daripada pejabat berkenaan untuk tindakan segera sekiranya sebarang malapetaka berlaku.

“Kita akan melatih mereka dengan kemahiran asas seperti bantuan perubatan,dan membekalkan sebuah bot bagi bantuan banjir, kita ingin wujudkan sebuah pasukan sukarelawan yang bersedia dalam apa jenis keadaan sekalipun.

“Sehingga kini, kita masih menerima banyak pendaftaran baharu bermakna kempen kita untuk melahirkan seorang sukarelawan di setiap keluarga berjalan dengan baik.

“Perkembangan positif ini bermaksud orang awam juga kini bersedia untuk menghadapi apa juga bencana, kejadian tidak diingini pada masa akan datang, malah memenuhi hasrat untuk mendapatkan seramai dua juta ahli pada penghujung tahun ini,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, bilangan ahlinya kini telah bertambah sehingga ke 1.6 juta ahli setakat April ini, tambahan pula dengan penambahan 500,000 pendaftaran sukarelawan baru pada suku tahun pertama 2017.