IPOH – Seramai 11 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kerawai, Teluk Intan yang terkandas akibat banjir, selamat dihantar pulang ke kediaman masing-masing, tengah hari tadi.

Kesemua mereka dilaporkan terkandas di kawasan sekolah selepas laluan ke Kampung Selat Manggis dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, keadaan itu menjadikan laluan sepanjang 2km itu tidak selamat digunakan kenderaan biasa.

“Kita menerima panggilan daripada guru besar sekolah memohon bantuan menghantar murid pulang ke kampung.

“Limpahan air Sungai Bidor menyebabkan laluan antara sekolah ke jalan masuk kampung terputus hubungan,” katanya.

Beliau berkata, operasi menghantar murid dilakukan sekitar jam 12.30 tengah hari, sebaik selesai sesi persekolahan menggunakan lori dan traktor.

Katanya, ketika ini, laluan berkenaan masih belum selamat digunakan dan paras air masih belum surut.

Mangsa banjir di Perak masih kekal seramai 223 orang melibatkan 61 keluarga, semuanya ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara SK Changkat Jong.

Hanya daerah Hilir Perak yang masih terjejas sementara Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dan Daerah Kampar sudah kembali pulih – sinar