Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: “Apa guna perkhidmatan bot pelancong dan sebagainya jika Pulau Sembilan sudah musnah?” soalnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung penutupan Pulau Sembilan yang kini menjadi isu hangat khususnya di kalangan penggiat pelancongan.

Dr Zambry bertegas bahawa kerajaan negeri tidak akan menarik balik keputusan untuk menutup Pulau Sembilan walaupun ianya mendapat tentangan daripada pelbagai pihaknya terutamanya golongan penggiat pelancongan.

Beliau berkata keputusan menutup pulau yang terkenal dengan “blue sand” itu adalah tidak lain untuk melindungi khazanah alam semula jadi sedia ada dan mengelak daripada kerosakan lebih teruk.

Ketika diminta mengulas mengenai reaksi penggiat pelancongan yang menginginkan Pulau Sembilan terus dibuka dan kekal beroperasi, beliau berkata ianya bukanlah isu utama berbanding dengan kepentingan memelihara kecantikan pulau tersebut.

“Ini bukan soal bisnes, ini soal status Pulau Sembilan yang merupakan sebahagian daripada kawasan Taman Negeri, jadi ianya harus mematuhi syarat dan piawaian yang sepatutnya, tiada pihak boleh sesuka hati menjadikannya sebagai kawasan pelancongan.

“Itu yang paling penting, apa guna perkhidmatan bot dan pelancongan dan sebagainya jika pulau ini sudah musnah?,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi akan menyiasat perkara tersebut secara teliti dalam memastikan Pulau Sembilan kekal sebagai salah satu kawasan terindah di Perak dengan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.

“Tiada cara lain lagi, kerajaan negeri akan tegas memastikan kawasan Pulau Sembilan dijaga dengan baik kerana ini adalah salah satu khazanah alam,”ujarnya lagi.

Semalam (Selasa), Nolee Ashilin mengumumkan penutupan Pulau Sembilan berikutan kerja membaikpulih struktur pasir yang kini sudah tidak lagi begitu berkualiti.

Katanya, jumlah pelancong yang datang ke pulau berkenaan kini sudah berada di luar kawalan dan mencecah angka yang sepatutnya.

“Kita tetapkan 120 orang secara maksimum di pulau itu, tapi kini dah lebih 300-400 orang datang dalam masa sehari,sekaligus merosakkan keadaan persisiran pantai dan pasir pulau itu,” katanya.

Justeru, pihak kerajaan negeri mengambil keputusan untuk memperketatkan undang-undang dan menutup pulau itu untuk jangka masa yang belum ditentukan.