TELUK INTAN: Tindakan pembangkang memanipulasi video yang menunjukkan seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menurunkan poster PKR, tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.

Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata video yang ditularkan pembangkang itu memperlihatkan seolah-olah SPR berat sebelah sedangkan arahan ditujukan kepada semua parti dan wakil calon parti yang bertanding ada di lokasi kejadian.

“Video yang viral menunjukkan seolah-olah hanya bendera PKR yang diturunkan, tetapi tidak bendera milik BN (Barisan Nasional).

“Sebenarnya yang ambil (turunkan bendera) adalah wakil parti PKR sendiri dan dia (penyokong PKR) buat rakaman seolah-olah pihak yang menjaga (SPR) tidak adil dan bendera diturunkan oleh petugas SPR.

“Ini juga adalah satu berita palsu. Mereka seolah-olah sudah mengatur untuk merakam video dan sebarkan, seolah-oleh ia dilakukan SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Titian Asraful Rohani sempena Amal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Selabak, di sini, hari ini.

Siew Keong berkata, semua bendera parti politik yang menghalang pemandangan dan laluan di beberapa jalan dan persimpangan di bandar itu diarah diturunkan oleh SPR.

“Saya tahu di Teluk Intan ini tindakan itu ditularkan dan dijadikan propaganda jahat. Ini tak termasuk lagi penyebaran risalah palsu memburukkan BN, malah gambar calon BN juga dikoyakkan.

“Saya nasihatkan jentera BN jangan terpengaruh dengan cara dan budaya samseng pembangkang…dan jangan membalas perbuatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Teluk Intan, yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, kesal dengan tindakan provokasi jahat pembangkang itu, yang boleh memberi tanggapan negatif terhadap SPR.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan meminta Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan, termasuk mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Video berdurasi satu minit 48 saat itu mula tersebar di aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu dan memaparkan tindakan sekumpulan ejen calon beberapa parti politik dan petugas SPR mengarahkan bendera dan poster di kawasan Parlimen Teluk Intan diturunkan kerana menghalang laluan.

Individu yang merakam video itu membuat tuduhan melalui percakapannya, mendakwa SPR hanya menurunkan bendera dan poster PKR.

 

BERITA BERKENAAN¬†:¬†‘Tun Daim Nak Jadi Dukun’ – Dr Zambry