KUALA LUMPUR: Dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia akibat dipercayai meminum arak mengandungi metanol di Selangor hari ini dengan jumlah keseluruhan kematian di negeri itu kini meningkat kepada 22 orang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata jumlah 22 kematian itu dicatatkan sehingga jam 8 pagi tadi dengan 22 orang lagi mangsa kini sedang dirawat di beberapa buah hospital di negeri ini serta Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dua kematian terbaru membabitkan seorang lelaki warga Myanmar yang meninggal dunia ketika dirawat di HKL dan seorang lelaki warga Nepal yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Mangsa yang meninggal dunia di HKL itu menetap di Sungai Buloh. Kedua-duanya berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat hari ini, jumlah keseluruhan mangsa yang terkesan akibat arak beracun mengandungi metanol di negeri ini berjumlah 58 orang.

“Seramai 14 orang mangsa dilaporkan semakin pulih dan sudah dibenarkan pulang manakala 22 lagi mangsa masih menerima rawatan di hospital.

“Keseluruhan mangsa yang maut terdiri daripada 10 warga Myanmar, enam warga Nepal, masing-masing dua warga tempatan dan Bangladesh serta seorang warga India. Seorang lagi mangsa belum dikenal pasti warga negaranya,” katanya lagi.

Sementara itu, sehingga hari ini, kes kematian di ibu negara akibat arak beracun itu masih kekal empat kematian dan Perak dengan dua kematian menjadikan keseluruhan mangsa meninggal dunia seramai 28 orang – berita harian