IPOH: Armada Bersatu Perak mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak untuk menyiasat dakwaan kononnya terdapat Exco kerajaan negeri cuba menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, jika dakwaan itu benar, tindakan tegas mesti diambil dengan memecat atau mengugurkan Exco berkenaan di samping tindakan disiplin oleh kepimpinan parti.

Menurut beliau, tindakan mempermainkan rakan-rakan PH dengan berkomplot bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari UMNO untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Katanya, rakyat telah memberi mandat serta kepercayaan kepada PH dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga telah perkenan Ahmad Faizal untuk mentadbir kerajaan negeri Perak.

“Semua pihak patut berhenti dari menimbulkan perkara-perkara yang tidak berfaedah pada rakyat dengan menghidangkan perbalahan, perpecahan dan adu domba tidak kira daripada parti politik mana sekalipun jika kita benar-benar bertanggungjawab untuk memulihkan dan membina semula negeri Perak yang kita cintai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hafez Mubin berkata, Armada Bersatu Perak memandang serius dakwaan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad bahawa terdapat usaha di kalangan Exco kerajaan negeri yang menawarkan sekurang-kurangnya lima ADUN dari UMNO dengan pelbagai tawaran untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.