SHAH ALAM : Tun Dr Mahathir Mohamad percaya bahawa golongan muda dalam sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu menebus semula kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau percaya ketika ini hanya anak muda dan wanita yang mempunyai idea terbaik untuk membawa gerakan bagi memenangkan parti itu.

“Armada satu sayap penting dalam Bersatu, sayap lebih utama daripada golongan dewasa. Bukan saja Armada tapi Srikandi juga lebih aktif daripada golongan dewasa.

“Golongan muda ada idea terbaik dan idle untuk lakukan gerakan-gerakan membawa kebaikan kepada parti.

“Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh, tapi tak bermakna kita boleh capai apa yang dicita-citakan,” katanya berucap pada Majlis Kutipan Dana Armada di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, malam ini.

Dr Mahathir juga berkata, Bersatu hanya relevan apabila mereka yang menyertai parti itu tidak berjuang untuk kepentingan diri sendiri.

“Bila sertai parti politik kena ingat perjuangan parti bukan perjuangan diri sendiri.

“Kalau berjuang untuk parti, kita rasa nikmat, kalau perjuangan untuk diri sendiri, parti tak rasa nikmat dan boleh kalah.

“Saya harap kepercayaan ini dapat dikikis daripada Bersatu,” katanya.

Beliau mengakui bahawa pemimpin dewasa dalam parti lebih mementingkan kedudukan mereka dalam parti.

“Orang dewasa mungkin tak dapat memikir secara idle dengan harapan baik untuk agama, bangsa dan negara, tapi lebih pentingkan nasib mereka dalam parti.

“Mereka berpendapat kekalkan nasib dalam parti penting supaya tiada cabaran dan saingan daripada mana-mana pihak.

“(Akibatnya) kita kalah dengan teruk di Tanjung Piai kerana kita tiada pekerja, ahli kurang.

“Di Semenyih pun kita kalah sebab kita kekurangan ahli dan pekerja.

“Kalau kita fikir parti ini beri peluang untuk capai matlamat diri sendiri, saya yakin parti akan kalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette