IPOH – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Perak dan ahli-ahli mereka telah membuat satu laporan polis terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang berucap di Himpunan Melayu Bangkit di Pekan Kg Gajah, Pasir Salak pada malam Sabtu.

Diwakili oleh Ketua Armada Bersatu Bahagian Gopeng Megat Muhammad Asri, Ketua Armada Bersatu Ipoh Timur dan Timbalan Ketua Armada Bersatu Tambun tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 2 petang, pada Isnin.

Mereka mendakwa semasa perhimpunan tersebut Lokman telah menggelar Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dengan gelaran yang tidak sewajarnya iaitu ‘Tua Puaka dan Mamak Bendahara’.
Megat Muhammad Asri berkata ucapan Lokman Adam tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mencetuskan ketegangan di antara kaum di negara ini.

“Oleh yang demikian, Armada Bersatu memohon supaya pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung perkara ini,” katanya selepas membuat laporan polis tersebut.

Dalam ucapannya, Lokman juga mendakwa Peguam Negara Tommy Thomas akan dan boleh mendakwa Yang DiPertuan Agong, Sultan serta Raja-Raja Melayu pada bila-bila masa. “Beliau juga menyatakan perlantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum adalah salah kerana kononnya Richard ialah seorang yang anti Islam berdasarkan kes-kes yang pernah dihakimi oleh beliau,” tambahnya.